PETALING JAYA: Pelakon, Nur Fazura menyeru orang ramai untuk berhati-hati dalam memberikan sebarang pendapat bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan berlaku di media sosial.
Tidak menafikan hak seseorang untuk bersuara, Fazura berpendapat setiap pemilihan kata mencerminkan keperibadian setiap individu.
“Selamat pagi sayang-sayang. Ingatlah, kita semua berhak mempunyai pendapat masing-masing dan saya menerimanya dengan penuh kasih sayang.
“Namun, saya harap kita juga sentiasa berhati-hati dalam memilih kata-kata kerana itu mencerminkan niat sebenar kita.
“Lebih-lebih lagi apabila saya telah menyaksikan perkara ini sejak sekian lama,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, aktres itu juga bersifat terbuka sekiranya ada dalam kalangan pengguna media sosial mempunyai pihak tertentu untuk memberikan sokongan.
Namun, ibu tunggal kepada anak satu itu berharap tindakan tersebut perlu dilakukan secara berpada-pada agar tidak mengguris hati mana-mana pihak.
“Kita boleh menjadi penyokong, prihatin dan melindungi. Tetapi jika luahan itu dilakukan secara terbuka untuk menyakiti seseorang berdasarkan andaian sendiri, itu akan meninggalkan kesan yang tidak baik dan akhirnya merosakkan persahabatan. Tolonglah, berbuat baik,” katanya.
Fazura bagaimanapun tidak memperincikan perkongsian tersebut kepada mana-mana pihak.










