ALOR SETAR: Tiga daerah dilaporkan dibadai ribut yang menjejaskan sejumlah rumah dan premis kerajaan termasuk institusi pendidikan dalam kejadian petang tadi.
Di Pendang, antara kawasan terlibat adalah Kampung Paya Palas; Kampung Paya Kerechut; Kampung Gajah Mati; Kampung Banggol Masjid; Kampung Paya Mak Insun dan Kampung Banggol Kambing.
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang di Jalan Jenun antara bangunan yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pihaknya mula menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.30 petang.
“Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati beberapa rumah rosak akibat angin kencang. Pemantauan di lokasi kejadian masih diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang.
Katanya, antara lokasi terjejas adalah Masjid Al-Fateh di Serdang; Kampung Batu 18; Pekan Serdang dan Klinik Kesihatan Serdang.
“Pasukan APM turut menjalankan kerja lapangan termasuk memotong pokok tumbang dan membersihkan kawasan sekitar,” ujarnya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi berkata, dua mukim yang terlibat adalah Mukim Pering dan Mukim Changlun, manakala kejadian pokok tumbang dilaporkan di Kampung Sungai Petani, Changlun.
“Panggilan kecemasan diterima sejak pukul 4.30 petang dan jumlah mangsa serta bilangan keluarga terlibat masih dalam bancian,” katanya. -UTUSAN










