KUALA LUMPUR: Pengarah filem Malaikat Malam, Nazifdin Nasrudin, tidak ambil hati apabila filem pertamanya menjadi bahan perbandingan dengan filem ikonik KL Menjerit sebaliknya menganggap naskhah itu merupakan karya yang membentuk dirinya sebagai pembikin filem.
Jelas Nazif, beliau juga membesar menonton filem KL Menjerit dan tidak dapat lari daripada inspirasi yang ditinggalkan karya tersebut.
“Saya tak kisah kalau orang nak bandingkan. Saya memang membesar dengan KL Menjerit, jadi sudah tentu ada pengaruh. Saya bangga nak kata saya terinspirasi daripadanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, jelasnya, Malaikat Malam hadir dengan pendekatan berbeza apabila cuba membawa dimensi baharu dalam genre permotoran atau ‘rempit’ yang sering dilabel negatif.
“Saya cuba betukkan stigma itu supaya jadi lebih baik. Dulu orang pandang cerita motor ini teruk, tapi saya sendiri produk daripada keadaan itu, dan sekarang saya buat cerita motor dengan mesej yang lebih luas,” ujarnya.
Mengulas mengenai mesej filem tersebut, Nazif menjelaskan Malaikat Malam bukan sekadar memaparkan aksi lumba haram, tetapi lebih kepada perjalanan emosi dan pencarian arah hidup golongan muda yang dibawakan Azam lakonan Syafiq Kyle.
“Genre ini sebenarnya macam ‘coming of age’, kisah remaja mencari tujuan hidup. Mesej utama saya adalah bagaimana kita sebagai manusia perlu memilih jalan yang betul. Kalau tidak, akibatnya boleh membinasakan
“Azam mungkin selamat, tetapi orang di sekeliling dia yang terkesan. Itu yang saya nak tekankan, kadang-kadang akibat itu bukan kena pada kita, tetapi pada orang lain,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Nazif turut mengakui menerima pelbagai reaksi penonton, termasuk kritikan yang menyatakan elemen perlumbaan motosikal dalam filem itu terlalu sedikit berbanding kisah cinta antara Azam dan Ratna lakonan Tracie Sinidol.
“Saya rasa bukanlah 5 peratus (babak berlumbaan) sahaja. Ada tiga babak perlumbaan, tetapi memang arah cerita ini lebih kepada romantik. Dari awal lagi kita sudah tunjuk dalam trailer.
“Kalau hanya aksi tanpa emosi, mungkin tak sampai kepada penonton. Kita cuba bagi gaya yang berbeza,” ujarnya.
Menyentuh tentang kemungkinan pengaruh negatif terhadap penonton muda, Nazif mengakui kebimbangan itu sentiasa ada, namun percaya penonton mampu menilai sendiri.
“Kita tak boleh nafikan ada yang mungkin nak tiru gaya watak. Tapi saya harap mereka ambil yang baik. Kalau nak jadi segak macam Azam, saya galakkan. Tapi kalau ambil yang buruk, saya minta maaf,” katanya. -UTUSAN










