Tiada projek KPKT ditunda, fokus pembangunan berpaksikan rakyat - Utusan Malaysia

Tiada projek KPKT ditunda, fokus pembangunan berpaksikan rakyat

NGA Kor Ming merasmikan naik taraf Medan Selera Greentown Utama di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan bahawa semua projek di bawah seliaannya akan diteruskan seperti dirancang, meskipun kerajaan bercadang menangguhkan sementara pelaksanaan projek berskala besar.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kebanyakan projek di bawah kementerian itu adalah berteraskan kesejahteraan rakyat, bukannya melibatkan pembangunan mega bernilai tinggi yang memerlukan penangguhan.

“Setakat ini, tiada projek kementerian yang perlu ditunda kerana keutamaan diberikan kepada projek berimpak langsung kepada rakyat, bukan projek mega yang bernilai bilion ringgit.

“Jadi, tiada apa yang perlu ditunda. Apa yang telah dirancang selama ini sedang rancak dilaksanakan khususnya projek yang berpaksikan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan naik taraf Medan Selera Greentown Utama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara projek yang diteruskan ialah pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menyediakan rumah mampu milik bagi memastikan golongan berpendapatan rendah terus menikmati akses kepada perumahan yang selesa.

“Seperti PPR Tambun, projek itu akan diteruskan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri majlis pecah tanah projek bernilai RM150 juta pada Jun depan.

“Saya telah minta Datuk Bandar Ipoh untuk meluluskan pelan bangunan secepat mungkin.

“Saya yakin, Projek PPR Tambun ini akan menjadi antara yang terbaik dengan konsep moden, lengkap dengan kemudahan seperti taman dan tasik rekreasi, sekali gus menjadi penanda aras baharu bagi perumahan mampu milik dan berkualiti,” katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan akan menangguhkan sementara projek-projek berskala besar bagi memberi keutamaan kepada projek yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, tekanan yang dihadapi negara susulan konflik di Asia Barat menuntut kerajaan untuk memberi tumpuan kepada keperluan asas yang lebih mendesak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN