KUALA LUMPUR: Tiada sebarang penambahan kos yang akan dihadapi jemaah haji musim ini walaupun terdapat lonjakan harga minyak akibat daripada konflik di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, dua penerbangan sudah berlepas dari Malaysia dan selamat tiba di Tanah Suci melibatkan 230 petugas.
Beliau berkata, kumpulan pertama jemaah haji pula akan berlepas pada Sabtu ini.
“Berkenaan soalan tersebut, apa yang saya boleh katakan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) sudah mempunya mekanisme dan pasukan petugas yang mengkaji (mengenai keadaan semasa).
“Malahan persiapan dan persediaan TH itu sudah memikirkan apa-apa pelan kontingensi yang akan berlaku.
“Setakat ini insya-Allah tiada peningkatan atau penambahaan apa-apa kepada semua jemaah haji kita, boleh terbang dengan tenang, doakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Rahmah Madani MAIWP: Majlis Santunan Kasih Asnaf 2026 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.
Pada 18 Mac lalu, media melaporkan, kos menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M adalah pada kadar RM33,300.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pihaknya telah mengambil kira faktor kenaikan kos bahan api dalam perjanjian sedia ada dengan syarikat penerbangan.
Menurutnya, perjanjian selama tiga tahun yang dimeterai bersama syarikat penerbangan termasuk Saudia Airlines dan Malaysia Airlines membolehkan kos penerbangan dikawal dalam julat tertentu.
Sementara itu, mengulas mengenai kecekapan mengurus wang zakat, Zulkifli berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sangat proaktif.
“MAIWP menunjukkan usaha dan perkembangan yang sangat baik, meningkatkan profesionalisme.
“Juga membuktikan kepada semua bahawa majlis agama Islam turut mempunyai tata kelola, governans dan perkhidmatan yang baik.
“Malahan Jabatan Audit Negara (JAN) juga sudah mengumumkan bahawa sudah 19 tahun audit (MAIWP) bersih, jadi pembayar zakit pun semakin yakin dengan kemampuan dan integriti MAIWP,” katanya. – UTUSAN










