KUALA NERUS: Terengganu mencatatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 terbaik dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan SPM negeri ini merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.17 dan mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan semua pihak dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan Terengganu.
“Kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, para guru serta ibu bapa yang menjadi tunjang kejayaan pelajar.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus melahirkan generasi rabbani yang cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, seramai 591 calon SPM 2025 di negeri ini memperoleh semua A iaitu peningkatan seramai 59 calon berbanding 532 orang pada 2024.
“Bilangan calon yang memperoleh semua A+ turut mencatatkan peningkatan kepada 25 orang berbanding hanya 11 calon pada tahun sebelumnya,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) semalam.
Menurut Kamsah, seramai 11,633 orang daripada keseluruhan 17,457 calon atau 67.6 peratus lulus semua mata pelajaran yang diambil iaitu peningkatan berbanding 66.41 peratus pada tahun lalu.
“Secara keseluruhan, seramai 16,624 calon atau 96.61 peratus layak menerima sijil SPM. Bagaimanapun, seramai 249 calon atau 1.42 peratus tidak hadir sepanjang peperiksaan SPM 2025.
“Bagaimanapun, seramai 249 calon atau 1.42 peratus tidak hadir sepanjang peperiksaan SPM 2025,” katanya.-UTUSAN










