Tepuk Tepung Pâtisserie, kafe artisan baharu di Hartamas - Utusan Malaysia

Tepuk Tepung Pâtisserie, kafe artisan baharu di Hartamas

PUAN Sri Nisa Bakri (tengah) semasa Pembukaan Rasmi Tepuk Tepung Pâtisserie di Hartamas Shopping Centre.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tepuk Tepung Pâtisserie, konsep kafe artisan oleh usahawan kulinari Malaysia, Chef Selebriti Puan Sri Nisa Bakri secara rasmi membuka operasinya di Hartamas Shopping Centre, di sini.

Pengasasnya, Puan Sri Nisa Bakri berkata, bertunjangkan falsafah ‘ rasa air tangan’, Tepuk Tepung mengambil inspirasi daripada amalan tradisi masyarakat terdahulu yang mengutamakan sentuhan, naluri dan kasih sayang dalam penyediaan makanan.

“Konsep tersebut bertujuan menyampaikan pengalaman rasa yang dekat dengan suasana dapur keluarga.

“Saya berharap apabila pelanggan melangkah masuk, mereka dapat merasai kehangatan, kasih sayang dan pengalaman seperti di dapur seorang ibu,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan kafe tersebut.

Konsep itu diterjemahkan dalam setiap sajian kafe berkenaan, merangkumi kek artisan, pastri segar serta hidangan gourmet di bawah tagline “Macam Mak Masak”.

Majlis berkenaan turut disertakan dengan acara kemuncak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Tepuk Tepung Pâtisserie dan Sea Travel Agency yang membuka peluang kerjasama strategik merangkumi sektor pelancongan, hospitaliti dan pengalaman kulinari, sekali gus menyokong rancangan jenama itu untuk berkembang ke dalam ekosistem gaya hidup yang lebih luas.

Majlis sama turut menyaksikan penyertaan dua rakan strategik baharu, iaitu Wyndham dan O’Briens yang masing-masing merupakan pemain global dalam sektor hotel dan kafe.

Kerjasama itu mencerminkan keyakinan industri terhadap potensi dan hala tuju jenama Tepuk Tepung.

Selain itu, satu lagi usaha baharu, Selio Lux di bawah Nisa Holdings turut diperkenalkan.

Konsep gaya hidup itu menawarkan koleksi produk tempatan termasuk barangan vintaj, kraf tangan, kosmetik, aksesori dan karya seni yang disasarkan kepada pelancong serta penggemar budaya.

Selio Lux yang terletak di Aras 1 Hartamas Shopping Centre, di atas Tepuk Tepung Pâtisserie bertujuan mempromosikan keunikan budaya Malaysia bukan sahaja melalui makanan, tetapi juga melalui seni dan hasil kraf tempatan.

Beliau berkata, pencapaian itu merupakan sebahagian daripada perjalanan panjangnya dalam dunia keusahawanan, termasuk pembabitan dalam industri fesyen dan perniagaan makanan di peringkat antarabangsa.

Tepuk Tepung Pâtisserie kini dibuka di Aras Bawah, Pintu Masuk Utama, Hartamas Shopping Centre. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN