PETALING JAYA: Penyanyi popular, Nabila Razali, berkongsi pengalaman berdepan situasi kurang menyenangkan apabila ditegur secara terbuka oleh seorang individu yang mengeluarkan kata-kata kurang sensitif terhadap dirinya.
Menurut Nabila, kejadian itu berlaku apabila seorang wanita menyapanya untuk bergambar. Namun, wanita berkenaan terlebih dahulu menceritakan bahawa suaminya yang menyedari kehadiran penyanyi itu menyifatkannya sebagai artis bersuara ‘chipmunk’.
“Suami dia yang nampak saya dahulu dan beritahu ada artis. Dia tanya artis yang mana, ‘ala artis yang suara chipmunk itu’. Selepas itu dia datang kepada saya sambil ketawa kecil. Saya agak terkejut,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Penyanyi lagu Peluang Kedua itu bagaimanapun tidak mengambil hati, sebaliknya mengakui lebih berasa hairan dengan sikap segelintir individu yang dilihat semakin terbuka dalam mengeluarkan kata-kata tanpa berlapik.
“Ini normal? Sudah berkurangkah orang bercakap berlapik? Saya tidak marah, cuma terkejut,” ujarnya.
Tidak lama kemudian, wanita terbabit difahamkan telah menghubungi Nabila melalui Instagram bagi memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya.
Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi rakan artis lain yang mengakui pernah melalui pengalaman hampir sama ketika berinteraksi dengan orang awam.
Penyanyi, Misha Omar, mendedahkan pernah menerima teguran berbaur sensitif mengenai penampilannya sebelum individu berkenaan meminta untuk bergambar.
“Misha Omar kah? Maaf tidak perasan, nampak lebih berusia sekarang dan sudah tidak terkenal, kemudian mahu ajak bergambar untuk tunjuk kepada emak,” kongsinya.
Dalam pada itu, Shila Amzah turut berkongsi pengalaman apabila fizikalnya menjadi bahan komen sebelum individu yang sama meminta untuk merakam gambar bersama.
“Saya rasa ini perkara biasa. Ada yang kata selalu nampak gemuk, tetapi kini nampak kecil. Ada juga yang tidak kenal nama, namun tetap mahu bergambar kerana artis,” katanya. -UTUSAN










