Semangat kenegaraan perlu diperkukuh hadapi cabaran global

Semangat kenegaraan perlu diperkukuh hadapi cabaran global

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semangat kenegaraan perlu terus diperkukuh dalam kalangan rakyat bagi memastikan negara kekal berdaya tahan berdepan cabaran geopolitik global dan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, dalam era dunia tanpa sempadan ketika ini, rakyat perlu terus berpegang kepada prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan Persekutuan serta menghargai sejarah dan kedaulatan negara.

Katanya, pengukuhan nilai kenegaraan amat penting bagi memastikan perpaduan dan kestabilan negara terus terpelihara dalam menghadapi pelbagai cabaran global.

“Semangat kenegaraan perlu ditingkatkan demi kestabilan politik negara dan ekonomi yang tidak menentu, agar kita kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan hubungan antarabangsa, konflik serantau serta tekanan ekonomi global.

“Rakyat perlu menunjukkan sifat patriotisme dan mengukuhkan keharmonian serta perpaduan. Justeru, pengukuhan jati diri amat penting agar rakyat lebih bersatu dan berpegang kepada nilai patriotisme yang kukuh,” katanya merasmikan Pejabat Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Tambah beliau, AKM juga berperanan menyampaikan penghayatan mengenai negara kepada masyarakat di tiga wilayah utama iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia mengambil kira kepelbagaian latar masyarakat di setiap wilayah bagi memperkukuh kefahaman mengenai pembentukan negara serta semangat kebersamaan rakyat.

“AKM Wilayah Persekutuan khususnya mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan integrasi nasional, sekali gus merapatkan jurang persefahaman serta memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, mempunyai akses kepada pendidikan kenegaraan yang berkualiti serta penghayatan yang mendalam terhadap identiti Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkata, cadangan memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 ke dalam Modul Akademi Kenegaraan Malaysia kini sedang diperhalusi sebelum dilaksanakan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN