Semangat kenegaraan, patriotisme kian pudar?

Semangat kenegaraan, patriotisme kian pudar?

HIRWAN JASBIR JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jati diri dan semangat kenegaraan yang semakin pudar dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, kini menjadi cabaran besar yang memerlukan perhatian serius semua pihak.

Sebelum memasuki era milenium, semangat kenegaraan rakyat berada pada tahap tinggi kerana dipacu cita-cita membina Malaysia sebagai negara maju dengan masyarakat bersatu padu dan berdaya saing. Namun, selepas negara melangkah ke era globalisasi dan teknologi, fokus tersebut beralih daripada membina negara kepada usaha mempertahankan identiti diri.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Hirwan Jasbir Jaafar berkata, suatu ketika dahulu masyarakat berpegang teguh kepada perpaduan dan memiliki aspirasi tinggi untuk menjadi bangsa cemerlang. Kini, pelbagai pengaruh luar mula meresap melalui muzik, fesyen, budaya bahkan ilmu pengetahuan, yang secara perlahan-lahan menghakis nilai kenegaraan.

“Antara punca jati diri semakin berkurangan ialah cabaran luar yang dibawa melalui semangat globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang bergerak terlalu pantas.

Kekurangan pendekatan yang tepat untuk menangani isu ini turut menjadi faktor.

“Kita perlu menilai semula sama ada sistem pendidikan moden benar-benar selari dengan cabaran memelihara jati diri dan kenegaraan. Peranan agensi seperti Jabatan Perpaduan, Jabatan Penerangan, Akademi Kenegaraan dan lain-lain juga perlu diperkasakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku menjelang sambutan kemerdekaan, Hirwan menegaskan, perkara tersebut telah mencetuskan polemik undang-undang dan desakan hukuman lebih berat.

Katanya, peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi, namun persoalannya ialah keberkesanan pelaksanaan dan tahap kesedaran masyarakat.

“Kita ada banyak undang-undang, tetapi bagaimana penguatkuasaan dan kesedaran terhadapnya dilakukan. Pemasangan bendera terbalik memang menjadi isu besar, tetapi bagaimana pula dengan perbuatan menjadikan bendera Malaysia sebagai pakaian kanak-kanak menjelang hari kemerdekaan yang juga merupakan salah satu bentuk penghinaan terhadap Jalur Gemilang,” katanya.

Katanya, hukuman sahaja tidak memadai jika kesedaran masyarakat terhadap penghormatan kepada bendera tidak dipupuk secara berterusan.

“Tindakan lebih wajar ialah mendidik masyarakat secara konsisten tentang erti penghormatan kepada Jalur Gemilang, tanpa kesedaran ini, rasa hormat terhadap bendera akan hilang sedikit demi sedikit,” katanya.

Hirwan menegaskan, jati diri dan semangat kenegaraan adalah tunjang kekuatan negara yang jika ia terus terhakis, generasi masa depan akan kehilangan akar identiti dan semangat perjuangan yang menjadi asas pembinaan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN