KUALA LUMPUR: Anak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali berlapang dada apabila permohonannya untuk melanjutkan tempoh bayaran royalti bagi karya bapanya, tidak dipenuhi.
Bagi Sazali, segala usaha telah dilakukan justeru dia hanya menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah S.W.T.
“Saya sudah cuba (buat permohonan), tetapi gagal. Jadi tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Saya sudah buat yang termampu.
“Permohonan bayaran royalti dilanjutkan selepas 50 tahun, ditolak. Pihak berkenaan pun tidak mampu berbuat apa kerana ini berkait akta hak cipta 1987.
“Saya hanya berserah kepada Tuhan. Saya susah, tapi ada orang juga susah,” katanya.
Sazali ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran kelab P Ramlee cawangan Lembah Klang, baru-baru ini.
Pengagihan royalti hasil karya lagu Allahyarham P Ramlee tamat pada Mei 2023, iaitu selepas 50 tahun pemergian seniman agung itu pada tahun 1973.
Terdahulu, pemberian royalti dilaksanakan kepada waris antaranya Puan Sri Saloma sehingga Allahyarham meninggal dunia pada 25 April 1983.
Bayaran itu kemudiannya diagihkan kepada waris, Allahyarham Nasir P. Ramlee dan pewaris lain sebelum diteruskan kepada Sazali selepas Nasir meninggal dunia pada 2008.
Sazali dalam masa yang sama memaklumkan kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat secara bulanan.
Dia juga pernah menerima bantuan persatuan Karyawan Malaysia yang tidak ketinggalan menghulur sumbangan bagi meringankan bebannya sekeluarga.
“Saya terima kira-kira RM600 daripada JKM dan RM400 (zakat). Bantuan ini digunakan untuk menampung kelangsungan hidup selain kos rawatan saya dan isteri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana saya menghidap asma dan penyakit jantung sementara isteri pula menderita masalah tulang belakang,” ujarnya yang merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Peminat P Ramlee Lembah Klang, Prof Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh memaklumkan pelbagai pihak tampil membantu meringankan beban Sazali satu-satunya waris seniman agung P. Ramlee.
“Pelbagai persatuan dan yayasan yang muncul memberi bantuan termasuklah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.
“Namun setiap bantuan melalui proses tertentu dan ia mengambil masa. Tapi kebajikan Sazali sebagai waris P. Ramlee tidak pernah diabaikan,” ujarnya. – UTUSAN










