Salur paip bawah air Sungai Perai selesai ditukar

Salur paip bawah air Sungai Perai selesai ditukar

KERJA penyambungan paip air merentasi Sungai Perai, Pulau Pinang dilaksanakan menerusi Program Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP). – ihsan PBAPP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Semua paip ba­wah air merentasi Sungai Perai diganti sepenuhnya menerusi Program Paip Menyeberangi Su­ngai Perai (SP-RCP) yang siap dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, pelaksanaan program itu menjadi penyelesaian jangka panjang bagi menghapuskan risiko kebocoran atau paip pecah yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air berpanjangan.

Ketiga-tiga projek di bawah program itu disiapkan secara berperingkat se­panjang setahun lalu dengan jumlah RM16.203 juta.

“Projek pertama siap pada 27 April 2025 melibatkan kawasan Kampung Telok dan Taman Ampang Jajar dengan kos RM7.879 juta manakala projek kedua siap 28 Januari lalu di Jalan Permatang Pasir berhampiran Restoran Aur Gading membabitkan kos RM3.238 juta.

“Projek ketiga melibatkan Kampung Bagan Serai, siap sepenuhnya semalam dengan kos RM5.086 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

SP-RCP bermula secara berfasa pada tahun lalu melibatkan pemasangan paip baharu yang merentasi Su­ngai Perai untuk menyalurkan air terawat dengan lebih stabil ke kawasan seperti Bagan Lalang, Jalan Kerapu, Mak Mandin, dan sebahagian Seberang Perai Utara (SPU) serta Seberang Perai Tengah (SPT).

Projek ini disifatkan sebagai penyelesaian akhir atau penyelesaian jangka panjang kepada masalah paip bocor yang sering berlaku sebelum ini di dasar sungai.

Penggunaan teknologi mo­den dalam penyambungan paip memastikan proses pemasangan berjalan lancar dan mengurangkan risiko gangguan bekalan air.

Ketiga-tiga paip baharu itu menggantikan jajaran paip bawah air lama yang dipasang sejak tahun 1990-an dan dikenal pasti berisiko tinggi mengalami kerosakan.

Katanya, kejadian paip pecah pada 18 Disember 2023 di Taman Ampang Jajar membuktikan keperluan mendesak untuk menaik taraf sistem berkenaan.

“Insiden berkenaan menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna di Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) serta beberapa kawasan di bahagian pulau.

“Kerja pembaikan kecemasan ketika itu pula mengambil masa 56 jam manakala pemulihan bekalan air hampir sepenuhnya memerlukan tambahan 72 jam,” katanya.

Katanya, PBAPP melaksanakan program komprehensif selama setahun bagi menggantikan semua paip bawah air berisiko seperti yang diarahkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Pathmanathan berkata, penyambungan akhir projek SP-RCP 3 berjaya dilaksanakan tanpa gangguan bekalan air berjadual (SWSI) hasil penggunaan teknologi hot tapping dan line-stopping.

Katanya, penggunaan teknologi itu membolehkan bekalan air terus disalurkan sepanjang kerja penyambungan sekali gus mengelakkan gangguan antara 48 hingga 72 jam kepada kira-kira 10,000 pengguna di Seberang Perai Utara (SPU) dan SPT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN