IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai ini seperti laporan analisis sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Ahad lalu.
Saarani mengakui terkejut mengenai laporan tersebut kerana PRN tidak pernah dibincangkan di mana-mana platform rasmi mahupun dalam kalangan kepimpinan negeri.
“Saya ada membaca artikel tersebut dan terkejut kerana ia tidak pernah dibincangkan.
“Untuk mengadakan PRN, Menteri Besar perlu menghadap Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) bagi mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak@Port (DKP) 2025-2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Laporan analisis tersebut menyebut Perak berpotensi dijadikan ‘ujian berisiko rendah’ bagi menilai sokongan pengundi khususnya Melayu terhadap kerajaan Madani selain memberi gambaran awal terhadap keputusan pilihan raya yang lebih besar bagi peringkat nasional.
Saarani berkata, sekiranya cadangan pembubaran Dewan Negeri tidak mendapat perkenan Sultan, Menteri Besar telah dianggap telah meletakkan jawatan.
“Saya tidak akan menghadap Tuanku untuk membubarkan dewan. Tambahan pula, kita masih mempunyai lebih setahun untuk meneruskan mandat lima tahun yang telah diamanahkan.
“Jadi secara peribadi, tiada kemungkinan berlaku PRN di Perak,” katanya. – UTUSAN










