IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan projek naik taraf medan selera dan pusat penjaja di seluruh negara untuk tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut melibatkan kira-kira 200 premis, dengan setiap medan selera dan pusat penjaja menerima antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi tujuan naik taraf.
Katanya, KPKT akan bekerjasama erat dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Dengan peruntukan antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi setiap lokasi, kita menyasarkan lebih 100 hingga 200 medan selera dapat dinaik taraf tahun ini.
“Sebanyak RM60 juta telah diperuntukkan bagi memastikan Medan Selera Madani dapat diwujudkan dan berkembang pesat, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan naik taraf Medan Selera Greentown Utama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara projek yang telah berjaya dilaksanakan ialah naik taraf Medan Selera Stadium Perak yang kini tampil lebih moden dan menarik.
Katanya, projek berkenaan yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Canning itu menjadi contoh kejayaan inisiatif KPKT dalam meningkatkan kualiti kemudahan awam untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Sebahagian projek kini dalam perancangan, manakala sebahagian lagi telah mula dilaksanakan, saya yakin kesemuanya akan siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 5,000 projek prasarana baharu akan dilaksanakan tahun ini.
“Projek naik taraf ini adalah satu daripada 5,000 projek tersebut. Sukacita dimaklumkan bahawa KPKT dinobatkan sebagai kementerian bertaraf platinum dan dalam tempoh tiga tahun, kita berjaya menyempurnakan sebanyak 15,082 projek prasarana.
“Bayangkan untuk beri kerajaan Madani 10 tahun, kita akan melakukan sekurang-kurangnya 50,000 projek seperti ini,,” katanya. – UTUSAN









