Rayer persoal tahap perlindungan wanita

Rayer persoal pihak berkuasa mengenai tahap perlindungan wanita

RSN Rayer bersama Fam Yean Nie mengadakan sidang akhbar di Pejabat DAP Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persoalan mengenai tahap perlindungan terhadap wanita di negara ini tercetus berkait satu kes serangan di tempat awam di sebuah kedai di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau pada 4 Mac lalu.

Peguam yang juga Penasihat Guaman DAP, RSN Rayer mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil sebarang langkah undang-undang terhadap kes itu, walaupun kejadian dirakam.

Katanya, rakaman menunjukkan dengan jelas berlaku serangan fizikal oleh seorang lelaki, namun kes hanya dirujuk kepada majistret tanpa sebarang pertuduhan.

Menurutnya, mangsa, Fam Yean Nie, 40, telah membuat laporan polis pada 4 Mac lalu, selain mendapatkan pemeriksaan perubatan yang mengesahkan kecederaan tisu lembut pada tangan kanan.

“Persoalannya ialah kenapa tiada pertuduhan dibuat? Sekurang-kurangnya, kes ini boleh dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Rayer berkata, rakaman kejadian menunjukkan suspek telah bertindak agresif termasuk menendang mangsa, sekali gus membuktikan elemen serangan fizikal.

“Mangsa tidak melakukan sebarang provokasi dan hanya merakam kejadian yang berlaku sebelum menjadi sasaran serangan. Ini berlaku di tempat awam dengan kehadiran orang ramai dan bukti video yang jelas, namun tiada tindakan diambil. Ini menimbulkan tanda tanya besar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Kes ini akan terus kami perjuangkan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan keselamatan wanita. Tindakan tegas perlu diambil dalam kes seperti ini bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN