Rasuah projek penyelidikan: Empat termasuk dua pensyarah direman - Utusan Malaysia

Rasuah projek penyelidikan: Empat termasuk dua pensyarah direman

EMPAT individu termasuk dua pensyarah dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk permohonan reman berkaitan kes rasuah bernilai RM5 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Empat individu termasuk dua pensyarah direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek penyelidikan bernilai RM5 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret S. Punitha ke atas tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an di Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini.

Majistret Punitha membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman keempat-empat individu tersebut bermula hari ini hingga Sabtu depan.

Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas keempat-empat suspek mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, semua suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.05 pagi sebelum dibawa keluar pada pukul 11.42 pagi.

Semalam, suspek yang terdiri daripada dua pensyarah, seorang pegawai syarikat berkaitan minyak serta seorang pengarah syarikat kejuruteraan ditahan antara pukul 2 hingga 5 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.

Keempat-empat suspek itu ditahan bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM5 juta daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek penyelidikan.

Mereka juga disiasat berhubung penyelewengan dana penyelidikan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air.

Selain tangkapan tersebut, SPRM turut membekukan sebanyak 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta selain menyita tujuh buah kenderaan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara tahun 2019 hingga 2025 di mana pegawai dan pengarah syarikat dijadikan proksi kepada kedua-dua pensyarah IPTS tersebut menerima rasuah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN