Rangka Perak Man kembali dipamer di Lenggong - Utusan Malaysia

Rangka Perak Man kembali dipamer di Lenggong

SAARANI Mohamad (tengah) melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong pada majlis perasmian pembukaan semula galeri tersebut di Lenggong hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Rangka Perak Man yang sebelum ini disimpan Jabatan Warisan Negara di Kuala Lumpur kembali dipamerkan di Galeri Arkeologi Lenggong di sini sejak Julai lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, rangka berusia 11,000 tahun itu sebelum ini disimpan oleh Jabatan Warisan Negara berikutan kerka-kerja naik taraf galeri di sini.

Menurutnya, rangka tersebut dibawa balik ke galeri tersebut pada Jun lepas.

“Penempatan semula rangka tersebut di sini menjadi tarikan utama pelancong ke galeri ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan Pelancaran Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di sini hari ini.

Perasmian majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Rangka asal Perak Man ditemukan pada 1991 dan dibawa pulang ke Lenggong pada Julai lalu selepas disimpan di Muzium Negara sejak 2021.

Sementara itu, Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Lenggong Geopark berkata, pihaknya dalam usaha membawa satu lagi rangka dikenali ‘Perak Woman’ berusia 8,000 tahun yang ditemukan pada 2004 di Gua Teluk Kelawar di sini.

Beliau difahamkan rangka Perak Woman disimpan di tempat lain dan berharap dapat dibawa balik dan dipamerkan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong untuk meningkatkan kehadiran pelancong.

“Apabila rangka asal Perak Man ada di sini, berlaku peningkatan dari sudut pelancong datang kerana nak tengok. Jadi, kalau ada Perak Woman di sini, ia menambah kepada peningkatan jumlah pelancong.

“Diharapkan rangka Perak Woman dapat dibawa pulang ke tempat asalnya di Lenggong dalam usaha untuk memperkasa nilai warisan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN