KANGAR: Jemaah haji Malaysia sejak sekian lama diingati dan dikenali sebagai antara jemaah berdisiplin, tertib dan berakhlak mulia ketika berada di tanah suci Mekah.
Reputasi itu hendaklah terus dipelihara kerana setiap jemaah bukan sahaja membawa nama baik sendiri, malah turut memikul amanah sebagai duta kecil mewakili Malaysia di mata dunia.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, jemaah haji tahun ini diingatkan sentiasa berwaspada, mematuhi garis panduan dan arahan ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) disebalik konflik Asia Barat ketika ini.
Titah baginda, ia penting dalam suasana dunia semakin mencabar, termasuk perkembangan geopolitik di rantau Timur Tengah.
“Patuhi segala arahan dan nasihat petugas haji, menjaga pemakanan dan tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan tahap kesihatan masing-masing. Peluang menunaikan ibadah haji merupakan satu nikmat yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup.
“Jemaah perlu memanfaatkan setiap detik di tanah suci itu dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan mempertingkatkan munajat kepada Allah SWT,” titah baginda yang berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat negeri Perlis 2026 di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.
Kursus perdana haji peringkat negeri ini anjuran TH itu membabitkan penyertaan 450 bakal jemaah haji dari Perlis sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke tanah suci.
Baginda bertitah, ibadah haji merupakan satu ibadah yang menuntut kekuatan fizikal, ketahanan mental dan kesabaran yang tinggi.
Sementara itu, titah baginda, kursus haji bukan sekadar program persediaan, sebaliknya turut menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman, disiplin dan kesiapsiagaan para jemaah haji.
“Segala ilmu dan bimbingan diperoleh diharap menjadi bekalan bermakna agar setiap jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna, tenang dan memperoleh haji yang mabrur,” titah baginda. – UTUSAN










