IPOH: Taktik sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud menjadikan sebuah inap desa di Bagan Datuk sebagai pusat panggilan operasi terbongkar selepas premis itu diserbu pihak berkuasa pada Selasa.
Serbuan pada pukul 1 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam serbuan itu, seramai 22 orang warga China terdiri daripada 19 lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan.
Katanya, kesemua tangkapan itu dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang menyasarkan warga Itali sebagai mangsa.
“Berdasarkan siasatan awal oleh pakar analisis media sosial, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, sindiket berkenaan didapati menjalankan aktiviti penipuan pelaburan daripada platform dikenali sebagai ‘pyxora labs’.
“Sindiket yang menyasarkan warga itali sebagai mangsa itu berkomunikasi dengan mereka melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram.
“Bagi mangsa yang berminat menyertai pelaburan itu, mereka dikehendaki membuat pembayaran kepada sindiket dalam USDT (mata wang kripto) di platform tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam serbuan di premis yang telah beroperasi sejak Februari lalu, beberapa rampasan dibuat membabitkan 35 unit telefon bimbit, sembilan unit komputer riba dan enam unit tetikus.
Selain itu katanya, turut dirampas ialah dua unit router Asus-96, dua unit modem serta dua unit penyambung wayar dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM95,000.
“Berdasarkan siasatan, kesemua tangkapan warga asing ini mempunyai dokumen lengkap dan masuk ke negara ini secara sah.
“Pihak polis sedang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan mereka ke negara ini,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula Selasa lalu sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan. – UTUSAN










