BUKIT MERTAJAM : Kira-kira 90 peratus ibu bapa di Pulau Pinang kini menjadikan Tabika Perpaduan sebagai pilihan utama untuk menghantar anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan awal persekolahan.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Rohai Zahar Nedi berkata, dapatan itu diperoleh hasil satu tinjauan yang dilakukan oleh pihaknya, baru-baru ini.
Beliau berkata, hasil tinjauan yang sama mendapati, terdapat pertambahan yang ketara dari segi bilangan murid yang mendaftar untuk mengikuti sesi pengajian enam tahun di tabika berkenaan berbanding tahun sebelumnya.
“Boleh saya katakan bahawa semua murid lima tahun di Tabika Perpaduan khususnya di Pulau Pinang bersetuju menyambung pengajian mereka tahun depan (enam tahun) dan kita juga jangka ada pertambahan murid untuk enam tahun nanti (daripada tabika lain) berdasarkan sambutan yang diterima setakat ini.
“Punca pertambahan ini belum dapat dipastikan sepenuhnya sama ada mereka (murid lima tahun) belum bersedia untuk naik ke Tahun Satu atau ada sebab lain. Apapun, ini juga membuktikan bahawa Tabika Perpaduan kini menjadi antara pilihan utama ibu bapa di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau ditemui semasa menghadiri Program Generasi Cilik Perpaduan : Menu Sihat Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Goh Choon Aik di Taman Sri Rambai Fasa IV di sini, hari ini.
Ketika ini, terdapat 116 Tabika Perpaduan di Pulau Pinang yang menempatkan seramai 2,304 murid berusia antara empat hingga enam tahun. Selain Tabika Perpaduan, tiga buah taska di bawah kendalian JPNIN turut beroperasi di negeri ini.
Sementara itu, Choon Aik berkata, Tabika Perpaduan sememangnya terbukti berjaya memainkan peranannya untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum atau peringkat umur.
“Sebagai contoh, menerusi Program Generasi Cilik Perpaduan ini, kita dapat lihat bagaimana ia dapat menarik penyertaan pelbagai kaum selain meningkatkan penglibatan ibu bapa.
“Maka, atas sebab itulah perpaduan ini seharusnya dipupuk sejak kecil seperti ‘melentur buluh ketika masih rebung’ kerana pada masa ini, pemikiran mereka (kanak-kanak) lebih terbuka untuk menerima semua jenis pendidikan atau pengajaran daripada orang dewasa,” katanya.-UTUSAN










