PRISM+ sasar pengembangan Asia Tenggara, Malaysia pasaran utama - Utusan Malaysia

PRISM+ sasar pengembangan Asia Tenggara, Malaysia pasaran utama

JONATHAN Wong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PRISM+ menyasarkan pengembangan agresif di Asia Tenggara, dengan Malaysia dikenal pasti sebagai antara pasaran paling penting dalam pelan pertumbuhan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PRISM+, Jonathan Wong berkata, pengalaman terdahulu di syarikat global seperti Uber dan CloudKitchens membentuk pendekatan kepimpinannya yang berfokus kepada inovasi dan gangguan terhadap model perniagaan tradisional.

“Semua peranan saya sebelum ini adalah tentang mencari cara yang lebih baik, sama ada dalam mobiliti, makanan atau gaya hidup.

“Di PRISM+ kami melakukan perkara sama dalam pengalaman membeli produk elektronik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, sebagai CEO baharu, keutamaan utama beliau adalah memperkukuh asas operasi di pasaran sedia ada iaitu Singapura dan Malaysia.

“Ini termasuk meningkatkan kecekapan rantaian nilai daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), jualan omnichannel, penghantaran, hingga perkhidmatan selepas jualan.

“PRISM+ kini mengendalikan lebih 13 kategori produk termasuk televisyen, penghawa dingin, mesin basuh dan peralatan rumah pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Jonathan menegaskan Malaysia mempunyai potensi besar disokong oleh pertumbuhan kelas pertengahan dan pendigitalan pesat.

“Permintaan untuk teknologi premium pada harga mampu milik masih belum dimanfaatkan sepenuhnya di Malaysia,” katanya.

Malah, jelasnya, PRISM+ merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran tempatan melalui pengembangan rangkaian produk, penambahan saluran jualan, peningkatan perkhidmatan pelanggan.

“PRISM+ turut merancang untuk memperluas operasi ke negara lain di rantau ini, termasuk Filipina yang kini berada dalam fasa percubaan.

“Model perniagaan terus kepada pengguna menjadi kelebihan utama, membolehkan syarikat menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga lebih kompetitif dengan mengurangkan peranan orang tengah,” katanya.

Bagi menghadapi persaingan sengit dalam sektor teknologi pengguna, PRISM+ menumpukan kepada pembangunan produk secara dalaman serta penyesuaian ciri mengikut keperluan pasaran tempatan.

Katanya, pendekatan ini juga membolehkan PRISM+ menawarkan harga lebih baik untuk spesifikasi yang sama, atau spesifikasi lebih tinggi pada harga yang sama berbanding jenama lain di pasaran

“Model PRISM+ menawarkan harga lebih baik dengan spesifikasi yang sama, atau spesifikasi lebih tinggi pada harga yang sama.

“Sebagai contoh, produk robot vakum syarikat direka khas untuk menangani masalah bulu haiwan peliharaan yang lazim di Malaysia dan Singapura.

“Selain itu, aplikasi PRISM+ Connect dibangunkan untuk menyatukan kawalan pelbagai peranti rumah pintar dalam satu platform,” katanya.

Jonathan berkata, walaupun berdepan cabaran geopolitik global, syarikat menyatakan rantaian bekalannya kekal stabil hasil hubungan kukuh dengan pembekal serta pengurusan inventori yang proaktif. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN