Petronas kini pengimport bersih minyak - Utusan Malaysia

Petronas kini pengimport bersih minyak

ANWAR Ibrahim menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima pada Program Madani Rakyat (PMR) negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kini berstatus pengimport bersih bahan api, bukan lagi merupakan pengeksport yang difahami selama ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sebagai menjawab kecaman pihak tertentu yang merasakan Malaysia sepatutnya tidak menghadapi krisis minyak memandangkan negara merupakan pengeluar minyak melalui Petronas.

“Petronas itu bukan net exporter (pengeksport bersih), sekarang ialah pengimport bersih. Kita kena beli minyak. Kita ada simpanan sekarang. Kita jamin April, Mei cukup. Bulan Jun tunggu dulu, belum tentu,” katanya semasa berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2026 Perak di sini hari ini.

Jelasnya, beliau kini hampir setiap hari bermesyuarat dengan pemikir dan ahli ekonomi serta Petronas untuk mengetahui perkembangan semasa ekoran perang antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

“Di ASEAN ini ada negara yang terpaksa membuat catuan minyak. Ada yang 400 stesen minyak ditutup. Ada yang menuntut golongan pekerja yang tinggal di sekitar kota untuk berjalan ke pejabat.

“Tetapi kita di sini asyik marah, tengking, benci dan tak fikir yang kita ada masalah dan tak berbuat apa-apa. Setiap hari kita bersidang mencari jalan,” katanya.

Sementara itu bercakap kepada pemberita, Anwar berkata, kerajaan juga sedang meneliti segenap aspek untuk mengurangkan beban rakyat termasuk para peniaga ekoran krisis kenaikan harga minyak.

Katanya, kerajaan hendak memastikan terlebih dahulu jaminan bekalan barang keperluan seperti minyak, minyak masak, tepung, garam, gula, sayur, ikan, daging dan ayam.

“Itu yang penting dahulu. Kemudian kawal setakat mana yang boleh kawal, harga. Itu saya ingat keutamaan.

“Kemudian kita tengok sama ada kita boleh bagi sedikit kelonggaran kepada perniagaan. Sama ada dari segi cukai, tarif serta bayaran yang boleh membantu.

“Ada yang cadangkan e-invois, apakah boleh ditangguh. Itu semua sedang diteliti untuk mengurangkan beban rakyat termasuk peniaga-peniaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN