Perkhidmatan bas Kuala Kangsar–Gerik diteruskan - Utusan Malaysia

Perkhidmatan bas Kuala Kangsar–Gerik diteruskan

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin memberi duit raya kepada pengunjung pada majlis Aidilfitri anjuran beliau di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perkhidmatan bas henti-henti di laluan Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik yang sebelum ini terhenti sementara akan diteruskan bagi memastikan kelangsungan pengangkutan awam khususnya kepada pelajar sekolah di kawasan terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira keperluan pengguna serta kepentingan akses pendidikan.

“Saya ingin memohon maaf kepada pengguna khususnya pelajar kerana gangguan yang berlaku sebelum ini susulan tamatnya tempoh perkhidmatan pada 31 Mac lalu.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri telah memberi jaminan bahawa perkhidmatan ini diteruskan bermula 1 April bagi mengelakkan gangguan terutama kepada pelajar yang bergantung kepada bas untuk ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Aidilfitri anjuran beliau di sini hari ini.

Menurut beliau, gangguan sebelum ini berlaku berikutan ketiadaan keputusan lanjut berhubung penyambungan kontrak antara kerajaan negeri dan pengendali perkhidmatan.

Tambahnya, pihak pengendali terpaksa menghentikan operasi sementara kerana tempoh perjanjian telah tamat tanpa sebarang kelulusan lanjutan ketika itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang meneliti semula mekanisme subsidi bahan api yang lebih sesuai bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan tanpa membebankan pengendali.

“Pengendali sebelum ini menanggung kerugian kerana jumlah penumpang yang tidak mencapai sasaran, namun mereka tetap meneruskan perkhidmatan.

“Justeru, kita sedang merangka formula baharu yang lebih praktikal dan bersifat ‘menang-menang’ supaya perkhidmatan ini dapat diteruskan secara mampan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan cadangan pembukaan laluan baharu perkhidmatan bas melibatkan kawasan Tanjung Tualang, Kampung Timah, Tronoh Mines, Gopeng hingga ke Kampar masih dalam proses kelulusan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, laluan tersebut penting bagi memberi kemudahan kepada pelajar di sekurang-kurangnya lima sekolah di sepanjang kawasan berkenaan.

“Kelulusan laluan ini bergantung kepada pihak APAD dan selepas itu barulah kita akan menentukan pengendali serta bentuk subsidi yang sesuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN