Pergi haji bukan untuk melancong

Pergi haji bukan untuk melancong

JEMAAH Haji Malaysia dibawa mengunjungi ke Masjid Quba sebagai salah satu program ziarah Tabung Haji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Ibadah haji dan umrah bukan perjalanan melancong, sebaliknya tuntutan ibadah yang menuntut keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan sepanjang berada di tanah suci.

Pengurus Bimbingan dan Ziarah Madinah Tabung Haji (TH), Mohamad Zahir Hussin berkata, umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah perlu memanfaatkan setiap masa untuk beribadah serta menghayati nilai rohani di sebalik perjalanan suci itu.

Katanya, setiap manasik haji dan program ziarah memberi penghayatan mendalam untuk mendidik jiwa kepada para jemaah haji.

“Misalnya keistimewaan men­ziarahi dan mendirikan solat di Masjid Quba sangat besar ganjarannya, malah ia diumpamakan seperti melakukan satu kali umrah.

“Selain itu, ia menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita tentang kepentingan masjid sebagai simbol penyatuan umat Islam,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, seramai 800 jemaah haji Malaysia melibatkan kumpulan KT1, KT2 dan KT3 menyertai siri ziarah luar bagi mendalami sirah perjuangan Rasulullah di bumi Madinah antaranya Bukit Uhud dan Masjid Quba.

Mengulas lanjut, Mohamad Zahir berkata, jemaah digalakkan menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah dengan penuh keinsafan dan mengambil pengajaran daripada sirah perjuangan generasi awal Islam.

MOHAMAD ZAHIR HUSSIN

Menurut beliau, pengalaman berada di bumi anbia itu seharusnya membawa perubahan jiwa dan akhlak apabila jemaah pulang ke tanah air kelak.

“Jangan pulang sekadar membawa gambar dan kena­ngan, tetapi bawalah bersama semangat ibadah, kesabaran, disiplin serta kecintaan kepada agama hasil penghayatan di bumi Madinah,” katanya.

Menurut beliau, program ziarah TH bukan sekadar lawatan fizikal ke tapak bersejarah, malah bertujuan memberi penghayatan mendalam kepada mereka me­ngenai pengorbanan Nabi Muhammad dalam menyebarkan syiar Islam.

Katanya, jemaah turut di­bawa ke Medan Uhud bagi me­nelusuri sirah peperangan ke­dua dalam sejarah Islam.

“Di Medan Uhud, kita dapat melihat lokasi persemadian para sahabat yang gugur syahid demi memastikan Islam terus bersinar dan sampai kepada kita pada hari ini.

“Dalam setiap perjalanan ke tempat-tempat bersejarah ini, kami mahu jemaah mendapat ibrah atau penghayatan tentang bagaimana perjuangan ­Rasulullah dari Mekah ke Madinah bagi membawa sinar Islam yang kita nikmati kini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN