IPOH: Perancangan untuk mewujudkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di sesuatu kawasan perlu diperhalusi terlebih dahulu melalui perbincangan menyeluruh di peringkat daerah sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keperluan pembinaan institusi pendidikan tersebut perlu dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang dipengerusikan oleh pegawai daerah.
Katanya, setiap cadangan pembangunan perlu dinilai secara terperinci di peringkat itu bagi melihat keperluan dan kesesuaian terutama lokasi bagi pelaksanaan projek berkenaan.
“Pandangan yang dibangkitkan (pembinaan SBP di daerah Kerian) hendaklah diambil kira sebagai kaedah dan cara, bagaimana kita boleh merangsang pembangunan kawasan.
“Bagaimanapun, harus saya ingatkan bahawa ia mesti dibincangkan di peringkat daerah melalui JTPD yang dipengerusikan oleh pegawai daerah masing-masing,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, aspek ketersediaan tanah menjadi antara faktor utama yang perlu diberi perhatian sebelum sebarang projek dilaksanakan.
“Harus diingat, perlu ada tanah. Jika tanah itu milik kerajaan negeri, ia lebih mudah. Namun, jika tanah itu bukan tanah kerajaan negeri, ia melibatkan proses pengambilan tanah dan kos akan jauh lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bersetuju bahawa kewujudan SBP atau institusi pengajian tinggi (IPT) di setiap daerah mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan setempat.
Ujar beliau, kehadiran pelajar dan ibu bapa terutama pada hujung minggu berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi termasuk perbelanjaan di premis perniagaan tempatan.
“Secara tidak langsung, ia memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN










