Pemotong rumput dipenjara enam bulan miliki 342 video lucah - Utusan Malaysia

Pemotong rumput dipenjara enam bulan miliki 342 video lucah

IDHAM Rhusla Mohamad Shahuri dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini bagi menghadapi pertuduhan memiliki satu video pornografi kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pemotong rumput yang menyimpan 342 video lucah termasuk bahan pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbit sebagai koleksi peribadinya, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh dua mahkamah berasingan, hari ini.

Di Mahkamah Majistret Parit, tertuduh, Idham Rhusla Mohamad Shahuri, 42, dijatuhi hukuman itu bermula dari tarikh sabitan, hari ini, selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada dua anak berusia 16 dan 18 tahun itu didakwa memiliki 341 video lucah dalam telefon bimbit jenama Oppo A35 berwarna merah.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kampung Sadang, Belanja Kiri dalam daerah Perak Tengah pada pukul 12.51 tengah hari, 6 April 2026.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Ipoh, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason atas pertuduhan memiliki satu video pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbitnya di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia yang disabitkan dengan kesalahan itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu semalam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN