GERIK: Kerajaan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu di sini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kajian tersebut sebagai usaha menambah baik infrastruktur dan kemudahan di pintu sempadan negara.
“ICQS di Pengkalan Hulu ini unik kerana lokasi di antara ‘checkpoint’ sebelah Thailand dan negara jauhnya ajak jauh walaupun tidak sampai satu kilometer.
“Saya lihat tadi orang yang buat pemeriksaan dengan kita, heret beg (ke pusat pemeriksaan) serta isu-isu keselamatan lain.
“Melalui beberapa siri perbincangan dengan Menteri Besar Perak, mereka ada cadangkan beberapa lokasi untuk pembinaan kompleks baharu dan kini masih dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Pemantauan Operasi Kawalan Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh; Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.
Menurut beliau, pembinaan baharu ICQS itu bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada orang ramai malah meningkatkan aspek keselamatan di sempadan negara.
“Kita mahu beri keselesaan kepada pengembara untuk keluar dan masuk selain memastikan tiada kompromi dalam aspek keselamatan di sempadan,” katanya.
Tambah beliau, ICQS Bukit Berapit merekodkan kira-kira 180,000 pergerakan pengembara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 735,000 di Padang Besar untuk tempoh yang sama.
Katanya, meskipun ICQS berkenaan merupakan lokasi strategik sebagai pintu masuk di sebelah utara, namun tahap penyeludupan dan jenayah rentas sempadan yang lebih rendah direkodkan di Bukit Berapit berbanding kawasan lain.
“Pintu sempadan di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan beberapa pintu sempadan di Kelantan antara kawasan yang perlu diberi perhatian,” katanya. – UTUSAN









