Nelayan hilang ketika periksa kipas bot ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Nelayan hilang ketika periksa kipas bot ditemukan lemas

PASUKAN penyelamat membawa naik mayat Pee Kian Kok yang ditemui lemas di Hutan Melintang, Bagan Datuk hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika memeriksa kipas bot di dalam sungai di Pelantar B10, Hutan Melintang di sini semalam, ditemukan lemas hari ini.

Mayat mangsa, Pee Kian Kok, 55, dijumpai oleh pasukan penyelamat pada pukul 8.07 pagi tadi pada jarak 10 meter dari lokasi kali terakhirnya dilihat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 4.28 petang.

Katanya, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pemeriksaan kipas bot dalam air namun didapati tidak timbul semula ke permukaan air selepas itu.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati keadaan air berarus deras dengan hujan lebat sehingga menyukarkan anggota bomba untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan.

“Operasi pencarian yang disambung hari ini menggunakan kaedah carian di permukaan sungai menaiki bot aluminium berjaya menemui mangsa pada pukul 8.07 pagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa dibawa naik ke darat dan pemeriksaan oleh pasukan perubatan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan itu tamat pada pukul 9.30 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN