Negeri Sembilan mula langkah jimatkan perbelanjaan

Negeri Sembilan mula langkah jimatkan perbelanjaan

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mengawal penggunaan kenderaan jabatan, mengehadkan sesi mesyuarat di luar daerah Seremban dan mengurangkan kos penganjuran program antara tumpuan diberikan kerajaan Negeri Sembilan dalam langkah penjimatan kesan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam pertemuan antara ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri bersama Unit Perancang Ekonomi (UPEN) negeri dan syarikat perunding pada Isnin lalu.

Dalam pertemuan itu, katanya, UPEN dan syarikat perunding telah membentangkan kesan yang dijangka berlaku akibat krisis di Asia Barat meliputi semua aspek terutamanya kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Apa yang kita lihat, ia bukan sahaja memberi kesan kepada harga minyak dan tenaga tetapi kos sara hidup rakyat. Sebab itu kita perkenalkan program Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bukan hanya arahan tetapi sebagai langkah mengurangkan kos dan pergerakan.

“Kita juga minta semua jabatan memantau kenaikan harga barang terutamanya dalam sektor pembinaan kerana ia akan memberi kesan kepada hasil negeri dan perbelanjaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Aminuddin menjelaskan, penggunaan kenderaan jabatan perlu dikawal dengan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu selain penggunaan tenaga di pejabat turut diteliti daripada semasa ke semasa.

“Sesi mesyuarat juga akan dihadkan secara fizikal di Seremban sahaja manakala pegawai dari daerah lain akan menggunakan kemudahan dalam talian yang akan dapat mengurangkan kos perjalanan.

“Program-program kerajaan tidak dibatalkan tetapi kita akan kurangkan kos manakala program besar mungkin dikurangkan skopnya,” ujarnya.

Tambahnya, perjalanan ke luar negara tidak dilarang tetapi dihadkan kepada yang benar-benar mampu membawa impak kepada negeri ini yang masih perlu berusaha menarik pelabur luar.

Beliau berkata, semua aktiviti penjimatan itu yang turut meliputi syarikat milik kerajaan negeri akan dipantau oleh Setiuasaha Kerajaan Negeri. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN