Naib Canselor UNITAR ucap tahniah lepasan SPM

Naib Canselor UNITAR ucap tahniah lepasan SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Beliau berkata, apa jua keputusan yang diperoleh, pelajar telah melalui satu fasa penting dalam kehidupan yang menuntut ketekunan, kesabaran dan kekuatan diri.

Katanya, pencapaian tersebut merupakan satu kejayaan yang wajar dihargai selepas melalui tempoh persekolahan yang mencabar.

Menurutnya, pendidikan ialah satu perjalanan pembentukan potensi dan makna sepanjang hayat, bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata.

“Ia melibatkan proses memahami diri, membina keupayaan secara berperingkat serta melangkah ke hadapan dengan kesedaran terhadap tanggungjawab dan tujuan hidup masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, setiap individu berkembang melalui pengalaman berbeza dan setiap langkah ke hadapan mempunyai nilai tersendiri.

Pada masa yang sama, beliau berkata, masa depan tidak ditentukan oleh satu keputusan sahaja, sebaliknya bergantung pada keinginan untuk terus belajar, keberanian memperbaiki diri serta keikhlasan dalam setiap usaha.

“Dengan niat yang baik dan usaha berterusan, setiap perjalanan akan dipermudahkan dengan izin Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru dan pendidik yang membimbing pelajar sepanjang tempoh persekolahan.

Katanya, tugas mendidik merupakan satu amanah besar yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga serta komitmen tinggi.

“Setiap kejayaan pelajar tidak terpisah daripada bimbingan dan keprihatinan guru. Semoga segala jasa mereka diberkati serta dibalas dengan ganjaran sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau menyeru semua lepasan SPM agar terus melangkah ke hadapan dengan keyakinan dan harapan serta menjadikan ilmu, nilai dan keinsanan sebagai panduan dalam membina masa depan yang bermakna.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN