Nahas tiga maut: Pemandu treler didakwa membunuh

Nahas tiga maut: Pemandu treler didakwa membunuh

PEMANDU treler yang menyebabkan tiga sekeluarga maut, didakwa dengan tiga pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang pemandu treler yang menyebabkan tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini dengan tiga pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Salleh, 29, bagaimanapun hanya mengangguk tanda faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Amalina Johar.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh S. Palamiandy, 77; K. Myakrishnan, 72; dan S. Sevendai, 62, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.50 petang, 2 April lalu di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru-Seremban, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sebatan tidak melebihi 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung, jika sabit kesalahan.

Dalam kemalangan tersebut, tertuduh yang membawa treler berkenaan telah melanggar sebuah van dinaiki tiga mangsa yang maut termasuk dua lagi cedera.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan turut memohon tarikh baharu bagi perbicaraan memandangkan pihaknya belum menerima laporan termasuk Puspakom, patologi dan forensik.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mei ini.

Khamis lalu, media melaporkan tiga sekeluarga maut, manakala dua lagi cedera selepas van dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan treler dan lori.

Van dinaiki mangsa telah dilanggar di bahagian belakang kiri oleh treler dipandu tertuduh sehingga menyebabkan van berkenaan memasuki lorong bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN