KUALA LUMPUR: Gema emosi dan kekuatan cerita menjadi nadi Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2026 apabila edisi kesembilan yang berlangsung dari 18 hingga 25 Julai ini tampil dengan tema ‘Resonance’, membawa makna bagaimana sesebuah karya terus hidup dalam jiwa penonton walaupun selepas layar ditutup.
Pengasas dan Presiden MIFFest, Joanne Goh berkata, pemilihan tema itu selari dengan simbolik angka sembilan yang membawa maksud sesuatu yang berkekalan serta terus hidup dalam ingatan penonton.
Menurut beliau, filem tidak terhenti sebaik sahaja layar menjadi gelap, sebaliknya terus meninggalkan kesan mendalam yang mampu membuat penonton merenung kembali kehidupan mereka.
“Apabila anda menonton sebuah filem, selepas filem itu tamat, perasaan dan emosi itu masih kekal dan membuat anda merenung kembali kehidupan anda.
“Inilah kesinambungan yang kami maksudkan. MIFFest tidak akan berakhir. Kami akan terus melakukannya dan anda akan berjumpa saya setiap tahun kerana ini adalah acara tahunan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Joanne berkata, tema Resonance juga mencerminkan bagaimana sinema mampu bergema merentasi sempadan negara, budaya dan generasi, sekali gus memperkukuh kedudukan MIFFest sebagai platform penceritaan antarabangsa.
Katanya, festival itu bukan sekadar ruang tayangan, malah menjadi medan penting untuk pembikin filem tempatan dan luar negara bertukar idea serta membina jaringan industri.
“Kami sebenarnya berkongsi banyak peluang jaringan dan perhubungan. Akan ada sesi perbincangan antara pembikin filem tempatan dan luar negara selepas tayangan untuk membincangkan tentang penceritaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan empat duta bagi MIFFest 2026 yang akan menjadi wajah rasmi festival kali ini.

Barisan duta tersebut terdiri daripada selebriti tanah air Jack Tan, Zizan Razak, Daiyan Trisha dan Bront Palarae.
Mengulas sambutan terhadap festival berkenaan, Joanne berkata, jumlah penyertaan filem terus meningkat apabila lebih 700 penyertaan diterima bagi edisi kali ini.
Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding sekitar 600 penyertaan pada tahun lalu, sekali gus membuktikan reputasi MIFFest semakin kukuh di peringkat antarabangsa.
Penyertaan tahun ini melibatkan lebih 40 negara, termasuk beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat, India, Iran, Taiwan, Hong Kong, Indonesia serta negara-negara ASEAN lain.
“Setiap tahun jumlah penyertaan meningkat dan kami sangat berbangga kerana semakin banyak negara menghantar filem mereka ke Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa daripada lebih 700 penyertaan itu, pihak penganjur akan menilai dan menyenarai pendek 30 filem sebelum memilih 10 karya terbaik untuk kategori pertandingan utama.
“Sambutan luar biasa tersebut mengukuhkan aspirasi MIFFest untuk terus menjadikan Malaysia sebagai hab sinema utama di Asia Tenggara,” ujarnya. – UTUSAN










