Mencabar terbitkan ‘Tarung’, ada hari rasa mahu putus asa - Aedy Ashraf - Utusan Malaysia

Mencabar terbitkan ‘Tarung’, ada hari rasa mahu putus asa – Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aedy Ashraf mengakui perjalanan bergelar penerbit bagi menghasilkan filem sulungnya, Tarung: The Unforgiven, sarat dengan pelbagai cabaran.

Menurut Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosli, 33, dia berdepan tekanan emosi dan fizikal sehingga hampir berputus asa di pertengahan jalan.

“Cabarannya, setiap hari saya rasa seperti hendak menangis ketika menyiapkan filem ini. Setiap hari juga timbul rasa mahu mengalah dan mempersoalkan diri sendiri mengapa saya memilih laluan ini.

“Namun, apa yang menguatkan saya adalah mengingati tujuan asal saya. Saya mahu membuktikan kepada pembikin filem muda di luar sana bahawa jika saya mampu melakukannya, mereka juga boleh.

“Saya tidak menamatkan persekolahan dan tidak pernah mengikuti pengajian filem secara formal, namun saya tetap berjaya menghasilkan karya ini. Saya harap semangat itu dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus berkarya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tarung, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Aedy mengakui terdapat pihak yang memperlekehkan usahanya untuk bergelar penerbit, namun beliau enggan menjadikan perkara tersebut sebagai penghalang dalam merealisasikan impiannya.

“Dipandang rendah itu perkara biasa bagi saya. Saya tidak menjadikannya alasan untuk berhenti.

“Sejak dahulu hingga kini, perkara itu sudah menjadi lumrah. Malah, saya anggap ia seperti ‘kawan baik’ yang sentiasa ada.

“Jadi, saya tidak tergugat atau mengambil kisah sangat kerana pada akhirnya, saya melakukan semua ini demi diri sendiri dan impian saya,” ujarnya.

Tarung: The Unforgiven mengangkat kisah konflik dalam sebuah organisasi rahsia dikenali sebagai Marga.

Filem arahan Razaisyam Rashid itu turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel serta Theebaan G.

Filem ini dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN