SERDANG: Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi dua akhbar terbitannya iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! menerima anugerah pengiktirafan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pada majlis tersebut, Utusan Malaysia merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Liputan Bahasa Melayu Tertinggi dan Anugerah Visabiliti Media Cetak.
Kosmo! pula berjaya menerima Anugerah Penulisan Rencana Terbaik.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pihaknya sentiasa menghargai pihak media atas visabiliti yang dipamerkan terhadap universiti.
Menurutnya, kepimpinan UPM juga turut merakamkan penghargaan terhadap tenaga pengajar akademik dan staf atas perkongsian kepakaran mereka.
“Terima kasih kepada media membantu tenaga kerja UPM berkongsi kepakaran selain mengetengahkan pandangan yang diberikan.
“Kali ini penghargaan turut diberikan kepada warga UPM sebagai usaha menggalakkan mereka berkongsi pandangan sama ada di media cetak atau digital,” katanya selepas Majlis Promosi UPM 2026 di sini, hari ini.
Tambahnya, kepakaran yang dikongsikan merupakan antara inisiatif universiti bagi membantu negara dalam mendepani isu-isu semasa.
“Semoga pihak media menyokong usaha kami dalam berkongsi kepakaran agar dapat mengetengahkan keupayaan universiti dalam memberi pandangan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










