TAPAH: Hasrat seorang lelaki untuk menziarahi keluarga datuknya yang meninggal dunia di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini semalam.
Mangsa, Zamri Hashim, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta kenderaan utiliti sukan ( SUV) jenis Perodua Aruz dipandunya terjatuh dalam gaung di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands.
Isteri dan empat anak mangsa yang menaiki kereta tersebut mengalami kecederaan.
Sepupu kepada mangsa, Salabiah Saharuddin, 59, dari Teluk Intan berkata, dia difahamkan kejadian berlaku ketika sepupunya itu bersama isteri dan empat anaknya dalam perjalanan ke Cameron Highlands untuk menziarah keluarga datuknya yang meninggal semalam.
Menurutnya, dia juga difahamkan jenazah datuk sepupunya itu sudah dikebumikan semalam, namun sepupunya itu tetap berkeras untuk ziarah.
“Saya difahamkan mereka dari Kuala Lumpur hendak menziarahi keluarga datuknya yang meninggal dunia di Cameron. Saya difahamkan jenazah datuknya sudah dikebumikan petang semalam tetapi dia tetap hendak ziarah juga.
“Saya mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa sepupu saya ini daripada bapanya yang memberitahu sepupu saya itu sudah meninggal dunia. Sebaik sahaja mendapat tahu apa yang berlaku, saya terus ke sini (Hospital Tapah).
“Saya terkejut dengan kejadian yang berlaku terhadapnya dan isteri serta anak-anaknya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Tapah, di sini.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah ialah pada majlis kenduri perkahwinan saudara mereka di Teluk Intan pada Julai tahun lalu.
“Kami memang sudah lama tak berjumpa. Semasa berbual, dia ada beritahu tidak begitu sihat kerana menghidap sakit jantung.
“Itu kali terakhir saya berjumpa dengan dia sehinggalah saya mendapat berita kemalangan yang berlaku terhadapnya semalam,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.43 malam.
Katanya, anggota yang tiba di lokasi mendapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan terbalik di dalam sungai yang cetek.
Beliau berkata, mangsa berusia 44 tahun dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa dibawa naik ke atas.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sabarodzi berkata, lima mangsa lain mengalami kecederaan melibatkan seorang wanita berusia 48 tahun, dua remaja perempuan masing-masing berusia 19 dan 17 tahun serta dua kanak-kanak berusia sembilan dan enam tahun. – UTUSAN










