Matrade perkukuh kesiapsiagaan pengeksport berdepan krisis Asia Barat

Matrade perkukuh kesiapsiagaan pengeksport berdepan krisis Asia Barat

MENARA Matrade
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kekal komited memastikan pengeksport Malaysia sentiasa dimaklumkan, tangkas dan bersedia menghadapi cabaran susulan ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, situasi itu memberi kesan kepada laluan perdagangan global, kos logistik serta dinamik pasaran, sekali gus mewujudkan cabaran dan peluang baharu kepada pengeksport.

“Matrade sentiasa bekerjasama rapat dengan rangkaian pejabat di luar negara serta industri.

“Ini bagi memastikan komuniti perniagaan sentiasa dimaklumkan mengenai situasi semasa serta langkah mitigasi yang perlu diambil sepanjang krisis ini,” katanya dalam kenyataan.

Usaha itu disampaikan menerusi satu webinar bertajuk “Krisis Asia Barat – Perkembangan Pasaran Semasa” yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif FSG Advisory Sdn. Bhd., Anthony Dass dengan penyertaan kira-kira 500 peserta.

Melalui webinar tersebut, perkembangan semasa turut dikongsikan oleh wakil Matrade di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Kazakhstan yang memberikan gambaran situasi di lapangan.

Selain itu, wakil syarikat pertengahan berkongsi pengalaman praktikal dalam mengharungi ketidaktentuan pasaran serta mengekalkan kesinambungan perniagaan.

Dalam sesi itu, panel penceramah menggesa pengeksport tempatan mengamalkan pendekatan proaktif dan adaptif dalam mendepani landskap semasa.

Antara strategi dicadangkan termasuk mempelbagaikan pasaran ke ASEAN, Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika, menyesuaikan terma penghantaran, memperkukuh pengesahan pembeli serta memanfaatkan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan serta kawalan kos.

Pada masa sama, pengeksport digalakkan meneroka eksport berasaskan perkhidmatan seperti kepakaran minyak dan gas serta perkhidmatan teknikal bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk fizikal.

Webinar itu turut membincangkan ketidaktentuan konflik yang menyebabkan pembeli lebih sensitif terhadap harga, dengan sebahagian mereka merunding semula kontrak atau menangguhkan pesanan, khususnya bagi barangan margin rendah dan volum tinggi.

Bagaimanapun, penyedia logistik berpandangan keadaan masih terkawal meskipun kos meningkat, dengan laluan serta kerjasama baharu mula terbentuk dalam rantaian bekalan global.

Dalam perkembangan sama, Malaysia dilihat berada pada kedudukan baik untuk memperkukuh peranannya sebagai pembekal dipercayai dan strategik di peringkat global.

Beliau berkata, peluang masih wujud dalam koridor utama yang terus menunjukkan permintaan meskipun tidak sekata.

“Syarikat yang peka terhadap perkembangan pasaran, mengekalkan hubungan dengan pembeli serta menempatkan diri dalam segmen nilai berdaya saing masih berpotensi meraih peluang,” ujarnya.

Webinar itu turut menjadi pengenalan kepada bengkel fizikal akan datang anjuran Matrade bertajuk “Siri Dialog Eksekutif – Mengharungi Landskap Pasaran Dinamik: Wawasan untuk Pemimpin Perniagaan” yang akan membincangkan topik berkaitan secara lebih mendalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN