IPOH: Hubungan antarabangsa Malaysia yang positif dengan pelbagai pihak menyebabkan negara ini diminta untuk mendamaikan persengketaan antara negara-negara Arab di Asia Barat dengan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi panggilan telefon dengan beberapa pemimpin negara Arab, beliau diminta memujuk Iran agar tidak menyerang negara-negara Arab.
“Mereka minta saya sampaikan kepada Presiden Iran kerana mereka tahu hubungan Malaysia dengan Iran agak baik. Kita ambil pendekatan berhubungan baik dengan UAE, Qatar, Kuwait, Oman dan Arab Saudi.
“Saya sampaikan kepada Presiden Iran. Tentunya kita bersimpati (terhadap Iran). Tetapi juga keprihatinan negara-negara Arab dan memohon mencari pendamaian dalam kalangan negara-negara Arab dan Iran,” katanya semasa berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2026 Perak di sini hari ini.
Serangan Israel dengan bantuan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran membuatkan negara Parsi itu menyerang balas termasuk serangan terhadap pangkalan tentera AS di negara-negara Arab yang berjiran.
Anwar juga berkata, hubungan baik dengan dunia memudahkan Malaysia untuk melakukan pelbagai perkara termasuk mengadakan misi bantuan kecemasan ke Gaza.
Jelasnya, beliau sendiri berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil El-Sisi supaya memberi pertolongan dan kerjasama kepada kumpulan Malaysia untuk menyampaikan bantuan kepada Gaza.
Berkenaan perkara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 bagi melicinkan urusan berkaitan bantuan tersebut dengan kerajaan Mesir.
Anwar berkata, keputusan kerajaan memilih Amirudin bagi misi tersebut didorong oleh faktor kuantiti bantuan yang banyak sehingga melibatkan kontena besar.
“Ia melibatkan beberapa proses perundingan dengan kerajaan Mesir dan pihak tenteranya, jadi saya kena minta seorang wakil yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk membantu memudahkan (urusan berkenaan).
“Sebab itu saya minta Datuk Seri Amirudin mewakili kita untuk berunding, melicinkan proses itu kerana masalah dan kesukaran dihadapi oleh rakyat Gaza itu terlalu berat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Amirudin dijadualkan berlepas esok bagi melaksanakan misi berkenaan termasuk memastikan pelepasan bantuan di Kaherah serta menyertai beberapa agenda antarabangsa berkaitan isu Gaza.
Sebanyak 30 kontena yang mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan akan disampaikan bagi membela nasib warga Palestin di Gaza.
Selain memastikan pelepasan kontena bantuan di Kaherah berjalan lancar, Amirudin turut dijadual mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza. – UTUSAN










