ALOR SETAR: Proses penanaman padi bagi Musim 1/ 2026 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan dilaksanakan secara tabur terus kering (TTK) berikutan cuaca panas dan musim kemarau yang masih melanda Kedah.
Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kaedah tersebut merupakan alternatif terbaik buat masa ini bagi memastikan kesemua 100,641 hektar sawah terus diusahakan sekali gus menjamin bekalan beras negara.
Bagaimanapun, kaedah itu mempunyai risiko tertentu termasuk hasil yang dijangka boleh merosot serta ancaman pertumbuhan rumpai dan peningkatan kos mengusahakan sawah.
“Kita pernah melakukan kaedah TTK sebanyak enam kali iaitu sepenuhnya pada 1987; 1991; 1992 dan 1993 yang ketika itu turut berdepan musim panas di negeri ini. Pada 2017 dan 2020, TTK tidak diteruskan kerana berlaku hujan.
“Dari segil hasil memang akan terkesan sedikit iaitu kita jangkakan sekitar empat tan sehektar, malah pada 1987, hasil tuaian diperolehi hanya 2.3 tan, 1991 (3.5); 1992 (3.1) dan 1993 (3.9). Untuk 2017 dan 2020 hasil masing-masing 5.98 dan 5.96 sebab berlaku hujan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah beliau, bagi proses pembajakan pula memerlukan sehingga lima pusingan untuk penyediaan tanaman secara TTK yang sudah tentu memerlukan kos tambahan selain benih yang lebih banyak dan racun untuk melawan rumpai.
“Buat masa ini, kaedah ini dilihat sebagai strategi terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air yang terhad serta memastikan jadual penanaman dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air pengairan pada peringkat awal tanaman.
“Tetapi, jika berlaku hujan kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kaedah TTK seperti mana dilalui pada 2017 dan 2020 yang akhirnya proses penanaman padi dilakukan seperti biasa,” katanya.
Tambah Dr. Ismail, Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA menetapkan tarikh akhir pembajakan pertama bagi Fasa 1 adalah pada 15 April ini, diikuti Fasa Il pada 29 April dan Fasa III pada 13 Mei.
“Manakala tarikh akhir menabur kering bagi Fasa 1 ditetapkan pada 15 Mei, Fasa Il (29 Mei) dan Fasa III (12 Jun), melibatkan keseluruhan keluasan penanaman seluas 100,641 hektar di Kawasan Muda,” katanya.
Sementara itu, jumlah terkini keseluruhan takungan air di tiga empangan utama MADA berada pada tahap 39.42 peratus yang bersamaan 482,054 ekar kaki.
Ia melibatkan Empangan Pedu pada paras 39.69 peratus (347,305 ekar kaki); Empangan Ahning 53.97 peratus (120,349 ekar kaki) dan Empangan Muda 11.52 peratus (14,400 ekar kaki) dengan pelepasan air empangan kini dikawal pada kadar 700 cusec (Q) bagi memastikan bekalan dapat diurus secara optimum.
“Purata hujan di Kawasan Muda pula hanya 56mm, jauh lebih rendah berbanding purata 20 tahun iaitu 225mm yang menunjukkan penurunan sebanyak 75 peratus walaupun Perlis dan Kedah dijangka menerima hujan antara 140mm hingga 240mm sepanjang April,” katanya. – UTUSAN










