TANJUNG MALIM: Lelaki yang ditemukan meninggal dunia dalam stor berkunci di fasiliti sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi tadi bukan kakitangan universiti tersebut.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, lelaki tersebut dikenali Mohd. Radzi Ariffin, 53, merupakan pekerja syarikat swasta UPSI Sports Bowling yang beroperasi di universiti itu.
“Beliau disyaki mengalami serangan jantung dan proses bedah siasat sedang dilaksanakan di Hospital Slim River. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Bernam.
“Pihak syarikat akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dan UPSI akan sentiasa memantau dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam stor berkunci di fasiliti sukan UPSI di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.57 pagi daripada polis bagi mendapatkan bantuan untuk membuka pintu stor yang berkunci.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kira-kira 9 kilometer dan tiba pada pukul 2.07 pagi.
“Setibanya di lokasi, pintu stor telah pun dibuka oleh polis bantuan UPSI. Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemantauan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia. – UTUSAN










