PUTRAJAYA: Kerajaan menjangkakan kesan pemulihan ekosistem dan prasarana tenaga di Asia Barat akibat perang AS-Israel ke atas Iran akan mengambil masa yang lama dan mungkin bertahun-tahun.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, biarpun gencatan sementara telah diumumkan namun, perlu difahami bahawa kesan konflik akan terus dirasai.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkembangan terbaharu itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Jemaah Menteri dan juga Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) difahamkan bahawa tempoh masa untuk membaik pulih prasarana ini akan mengambil masa lama.
“Ia termasuk membaik pulih tangki-tangki penstoran dan paip-paip yang digunakan untuk menyalurkan sama ada gas mahupun minyak mentah. Ia (baik pulih) akan makan masa, ada yang mungkin dalam masa beberapa bulan ke beberapa tahun untuk pulih sepenuhnya.
“Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa walaupun perdamaian sementara telah dikecapi, namun kesan konflik tersebut terus kita rasai akibat daripada kerosakan kepada ekosistem dan prasarana tenaga di negara-negara Teluk,” katanya pada sidang akhbar mingguan Kabinet dan Taklimat Khas Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.
Katanya, ketika ini, lebih 2,000 kapal terkandas di Selat Hormuz dan pelepasan kapal berkenaan ke destinasi seterusnya juga akan mengambil masa yang lama.
“Apa yang paling penting, isu-isu bekalan bahan api ini masih menjadi keutamaan kerajaan dan Perdana Menteri,” katanya.-UTUSAN










