KPT tidak kompromi rasuah di IPT

KPT tidak kompromi rasuah di IPT

ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Public - Private Research Network (PPRN) 2026 di Whyndham Grand Bangsar. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebarang kes rasuah di universiti, politeknik atau institusi lain perlu dipandang serius kerana ia melibatkan integriti dan tadbir urus institusi pendidikan negara.

Katanya, kementerian tidak pernah memandang ringan sebarang isu rasuah meskipun kes yang berlaku dianggap kecil atau terpencil.

“Bagi kita, soal terpencil atau tidak bukan perkara yang boleh dianggap enteng. Apa sahaja yang melibatkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah di mana-mana institusi termasuk universiti dan politeknik perlu dipandang serius.

“Kita tidak bertolak ansur dalam hal seperti ini. Sama ada sedikit atau banyak, jika ada masalah rasuah, ia tetap satu masalah rasuah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sidang akhbar Majlis Perasmian Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di Wyndham Grand Bangsar, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.

Lebih membimbangkan, perbuatan itu bukan sahaja melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan, malah turut meresap dalam aspek akademik seperti pemberian markah, kelulusan kursus dan peluang penyelidikan sehingga mencemarkan nilai sebenar ilmu.

Selain itu, geran yang diberikan kepada pensyarah untuk pelaksanaan sesuatu projek atau kajian penyelidikan juga disalah guna.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat kes yang perlu disiasat.

Katanya, kementerian tidak menghalang sebarang siasatan dijalankan bagi memastikan integriti serta tadbir urus IPT terus terpelihara.

“Kita di peringkat kementerian tidak menghalang SPRM untuk masuk membuat kajian atau siasatan bagi kes-kes tertentu dan selama ini kita memberikan kerjasama yang baik.

“Pada masa sama, kita juga merujuk kepada Jabatan Audit Negara (JAN) dalam perkara yang melibatkan penggunaan sumber kewangan, pelaksanaan projek serta proses yang dilaksanakan di institusi berkenaan.

“Setiap teguran yang diberikan akan kita ambil tindakan. Dalam erti kata lain, usaha-usaha yang dilakukan adalah untuk terus memperbaiki” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN