JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor membongkar aktiviti penyelewengan diesel dengan merampas 3,300 diesel di Kawasan Perindustrian Sri Purnama, di sini pagi tadi.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pronomo berkata, dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, penguat kuasa KPDN Johor menahan tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 40-an.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati sebuah lori yang telah diubah suai dan sebuah lori tangki yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan dan penyimpanan minyak diesel secara tidak sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lori pertama telah diubah suai dengan pemasangan tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 3,000 liter.
“Selain itu, sebuah lori tangki turut didapati mengandungi cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 300 liter, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan minyak diesel dianggarkan sebanyak 3,300 liter,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Lilis Saslinda, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan mengubah suai lori bagi membolehkan pengumpulan minyak diesel dalam kuantiti yang besar sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk tujuan penyelewengan.
Katanya, turut ditemui dalam serbuan tersebut ialah peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak diesel seperti pam, hos, mesin flow meter serta beberapa dokumen berkaitan pembelian minyak diesel.-UTUSAN










