ISKANDAR PUTERI: Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City mampu menjadi hab kewangan baharu buat pelabur antarabangsa susulan ketegangan geopolitik global yang berterusan di Asia Barat, ketika ini.
Profesor Madya di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd. Effandi Yusoff berkata, ketidakstabilan di benua itu menyebabkan pelabur antarabangsa terpaksa mencari lokasi baharu.
Katanya, SFZ Forest City dijangka menerima manfaat daripada pelaburan bernilai bersih ultra tinggi (UHNW) yang memerlukan destinasi pelaburan baharu dengan kestabilan dasar, fleksibiliti percukaian serta persekitaran politik selamat.
“Forest City mampu menawarkan pelabur dalam sektor kewangan satu lokasi alternatif yang stabil daripada pelbagai aspek selain kedudukan strategik di Asia Tenggara dan disokong kerajaan.
“Kawasan pembangunan itu telah menunjukkan daya tarikan industri yang kukuh di mana kehadiran institusi kewangan seperti Kumpulan CIMB dan Maybank telah mewujudkan asas yang mantap bagi sektor kewangan di sini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Effandi, pelabur antarabangsa kini mahu mengurangkan risiko dalam landskap global yang semakin tidak menentu susulan gangguan besar terhadap bekalan minyak yang menjejaskan sektor tenaga serta ekonomi global.
“Forest City berupaya memperluas usaha menarik pelaburan melangkaui pejabat keluarga dengan turut memberi tumpuan kepada tawaran perkhidmatan kewangan seperti fintech dan perniagaan mata wang kripto sejajar usaha membangunkan ekosistem perkhidmatan kewangan yang komprehensif dan pelbagai.
“Sejak diperkenalkan sebagai hab pejabat keluarga, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan sembilan kelulusan bersyarat dalam Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai kira-kira RM670 juta setakat 22 April lalu dengan matlamat AUM bernilai RM2 bilion menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. selaku pemaju berada dalam kedudukan terbaik untuk mempromosikan Forest City dan SFZ secara lebih agresif bagi memastikan ia kekal berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab kewangan serantau.
“Forest City perlu merebut peluang di tengah perubahan arus modal global yang dipadankan dengan dasar mesra pelabur, kestabilan ekonomi dan politik domestik, lokasi strategik serta infrastruktur lengkap.
“Semua faktor ini berpotensi menjadikan Forest City sebagai hab kewangan bukan sahaja di rantau ini, malah seluruh Asia,” katanya. – UTUSAN









