Kilang plastik gaji warga asing digempur Imigresen 

Kilang plastik gaji warga asing digempur Imigresen 

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sebuah kilang plastik di Ijok, Selangor digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam selepas memproses sisa elektronik (e-waste) menggunakan pekerja warga China.

Serbuan bermula pukul 12 tengah hari dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi JIM dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor hasil risikan selama sebulan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemeriksaan mendapati kilang dipercayai menggunakan lesen kitar semula plastik bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, barangan e-waste yang dibawa masuk menggunakan lori atau kontena akan dilabelkan sebagai plastik kitar semula.

“Pekerja warga Bangladesh yang digajikan disyaki tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal di dalam premis. 

“Premis ini turut dilengkapi dengan sistem pemantauan dan amaran awal bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa dan akan menyembunyikan aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan ini berjaya menahan 22 lelaki warga asing terdiri daripada tujuh China dan 15 Bangladesh berusia lingkungan 21 hingga 66 tahun. 

Tambahnya, semakan awal mendapati enam lelaki warga China dan 10 lelaki warga Bangladesh telah menyalahgunakan kemudahan pas yang dimiliki.

“Selain, dua warga Bangladesh tinggal lebih masa, manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” jelasnya.

Jelas Zakaria, semasa operasi dijalankan, penjaga premis enggan memberikan kerjasama dan beberapa warga asing turut bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta bersembunyi bagi mengelak daripada ditahan, namun berjaya dikawal. 

“Seorang pegawai operasi mengalami kecederaan ketika menjalankan pemeriksaan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.

Kata beliau, pasukan operasi telah menyita 12 naskhah pasport Bangladesh, enam naskhah pasport China, kad perakam waktu dan lesen perniagaan premis.

Zakaria berkata, seorang lelaki tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“JIM akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(3) akta sama  serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tindakan turut diambil pihak JTK di bawah Peraturan 8 Peraturan Kerja 1957.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN