IPOH: Isu penamatan khidmat bas berhenti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang meresahkan penduduk sejak 1 April lalu berjaya diselesaikan hasil campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Keputusan itu dibuat susulan satu perbincangan yang telah diadakan antara pihak syarikat dan Pejabat Menteri Besar Perak berhubung isu penamatan operasi laluan tersebut yang menimbulkan kesukaran kepada penduduk setempat.
Pengurus Besar Perak Transit Berhad, Ismail Jamal dalam satu kenyataan memberitahu perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan 99A, 99B, 99C dan 99D akan mula beroperasi hari ini.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira permintaan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang prihatin terhadap keperluan penduduk setempat yang amat bergantung kepada perkhidmatan bas bagi laluan tersebut sebagai pengangkutan seharian,” katanya.
Menurutnya, operasi semula itu adalah bersifat sementara sehingga satu keputusan muktamad diperoleh berhubung status kelulusan permohonan subsidi pengangkutan awam daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.
Difahamkan perbincangan telah dibuat antara Pejabat Menteri Besar dengan pihak syarikat agar isu tersebut yang antara lain menyuarakan kebimbangan Saarani terhadap kesan penamatan perkhidmatan bas kepada kehidupan harian rakyat, khususnya pelajar sekolah, warga emas serta penduduk yang bergantung kepada pengangkutan awam.
Semalam, akhbar ini melaporkan warga emas serta murid sekolah paling terkesan ekoran penamatan perkhidmatan bas henti-henti yang menghubungkan bandar Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik.
Sejak sekian lama perkhidmatan bas itu menjadi harapan penduduk di kampung-kampung di laluan antara Kuala Kangsar dan Gerik sepanjang lebih 90 kilometer.
Operasi yang wujud sejak 50 tahun itu telah berakhir pada 31 Mac lalu menerusi kenyataan oleh syarikat pengendali.
Kemerosotan bilangan penumpang dikatakan menjadi faktor utama perkhidmatan itu tidak diteruskan.
Perkembangan itu dilihat memberi impak buat mereka yang bergantung kepada pengangkutan tersebut kerana tidak mempunyai kenderaan. – UTUSAN










