PUTRAJAYA: Perkhidmatan bantuan guaman bergerak, Kembara Justice On Wheels (JOW) perlu diperluaskan hingga ke peringkat daerah bagi mengatasi kekangan akses rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan itu yang ketika ini lebih tertumpu di ibu negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kebanyakan pejabat bantuan guaman hanya beroperasi di bandar utama, sekali gus menyukarkan penduduk di daerah untuk mendapatkan khidmat tersebut.
“Realitinya, dalam satu negeri terdapat banyak daerah dan kawasan Parlimen. Contohnya di Johor, dari Johor Bahru ke Kota Tinggi yang merangkumi Parlimen Pengerang, Tenggara dan Kota Tinggi, jaraknya boleh mencecah kira-kira 50 kilometer.
“Dengan kos sara hidup termasuk harga minyak yang meningkat, ini menjadi cabaran kepada rakyat untuk hadir ke pejabat bantuan guaman di bandar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap, JOW akan digerakkan oleh Jabatan Bantuan Guaman di peringkat negeri dengan turun ke daerah-daerah bagi memberikan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja menawarkan khidmat nasihat guaman, malah turut melibatkan bantuan berkaitan kes-kes tertentu termasuk pembelaan awam.
Dalam pada itu, Azalina berkata, sebagai permulaan, beliau mencadangkan supaya pergerakan JOW diperluaskan ke semua kawasan Parlimen dengan kerjasama wakil rakyat tanpa mengira parti. – UTUSAN










