KAMPAR: Pas sudah mempunyai calon Ketua Pembangkang dan akan diumumkan sebelum sidang Parlimen Julai ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, calon tersebut telah dipilih namun bukan hak beliau untuk mengumumkannya kerana terletak dalam bidang kuasa pimpinan parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang merupakan Pesuruhjaya Pas Perak bagaimanapun tidak memaklumkan Ketua Pembangkang itu daripada parti Pas atau Bersatu.
“Calon Ketua Pembangkang sudah ada. InsyaAllah akan diumumkan dan bukan hak saya untuk umumkan.
“Biasalah ia menimbulkan pergolakan tetapi boleh diatasi. Kita boleh uruskan,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Jamuan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pas Negeri Perak di Kompleks Pendidikan Islam Darul Muttaqin, Kampung Changkat Bharu, Malim Nawar di Kampar.
Berhubung langkah kerajaan menangani isu ekonomi kerana konflik Asia Barat, Idris berkata, Pas bersedia menghadiri sebarang pertemuan yang diadakan bagi membincangkan isu tersebut.
Katanya, pendekatan lebih menyeluruh seperti sidang khas Parlimen wajar dipertimbangkan supaya semua 222 Ahli Parlimen dapat menyumbang idea secara konstruktif.
“Pembangkang lebih awal menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dalam mendepani krisis melibatkan ekonomi, keselamatan dan kesihatan.
“Ini isu bersama, bukan isu politik semata-mata,” katanya. – UTUSAN










