KUANTAN: Penduduk menggesa pihak berkuasa membina semula menara tinjau sebagai langkah meningkatkan keselamatan di Pantai Balok di sini susulan insiden lemas terbaharu melibatkan seorang remaja 16 tahun, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mansor Mokhtar berkata, kemudahan itu penting bagi memudahkan pemantauan berterusan terutama ketika aktiviti mencari hasil laut dan riadah.
Menurutnya, insiden terbaharu membabitkan remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah membuktikan keperluan mendesak untuk meningkatkan aspek keselamatan di pantai tersebut.
“Kes lemas di kawasan ini bukan perkara baharu dan kita bimbang kejadian sama terus berulang jika langkah keselamatan tidak dipertingkatkan.
“Justeru, penduduk berharap agar menara tinjau dapat dibina semula bagi memudahkan pemantauan serta tindakan awal sekiranya berlaku kecemasan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Mansor berkata, sebelum ini pantai itu sudah pun mempunyai menara tinjau namun roboh akibat hakisan pantai kira-kira 10 tahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.02 petang semalam, Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Bakar yang hilang selepas mencari kepah di Pantai Balok di sini ditemukan lemas petang semalam.
Mayat mangsa, Luqman Kamil Jamaluddin, 16, ditemukan kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian kira-kira pukul 2.15 petang.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.02 petang semalam, mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mencari kepah di belakang sebuah maahad tahfiz kawasan pantai berkenaan.
Mangsa dikatakan mencari kepah bersama rakan-rakannya pada waktu air surut namun tidak menyedari air pasang dengan cepat sebelum dia dihanyutkan arus deras.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap perubahan keadaan laut.
“Orang awam perlu memahami keadaan air pasang surut dan segera keluar dari kawasan laut apabila paras air meningkat. Pemakaian jaket keselamatan juga amat penting walaupun melakukan aktiviti di kawasan air cetek,” katanya. – UTUSAN










