Kedaulatan undang-undang antarabangsa kian terhakis

Kedaulatan undang-undang antarabangsa kian terhakis

ANWAR Ibrahim merasmikan merasmikan Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.-PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedaulatan undang-undang antarabangsa semakin terhakis apabila prinsip keadilan sering diketepikan akibat pengaruh kuasa besar dan penguatkuasaan yang bersifat terpilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedaulatan undang-undang sewajarnya dapat diakses dan dikuatkuasakan secara adil kepada semua pihak kerana integritinya adalah asas kepada sistem antarabangsa yang saksama.

Katanya, realiti semasa menunjukkan dunia kini menghadapi ‘undang-undang rimba’, di mana pihak berkuasa berupaya mengabaikan norma demi kepentingan sendiri.

“Keadaan ini memperlihatkan ironi yang ketara serta hipokrasi tersirat, malah satu penyimpangan nilai apabila segelintir pihak yang lantang memperjuangkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan gagal mematuhinya, bahkan secara terbuka memperlekehkan prinsip tersebut.

“Situasi berkenaan memperlihatkan ironi mendalam serta hipokrasi tersirat serta penyimpangan nilai apabila segelintir pihak yang lantang memperjuangkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan gagal mematuhinya. Bahkan, mereka juga secara terbuka memperlekehkan prinsip tersebut,” katanya ketika merasmikan Persidangan
Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026 di Universiti Malaya, semalam.

Perdana Menteri berkata, prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh digunakan secara terpilih atau dijadikan perisai untuk melindungi pihak tertentu daripada pertanggungjawaban, atau menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri.

“Kredibilitinya bergantung pada konsistensi. Kita tidak seharusnya berselindung di sebalik kata-kata, mengalihkan pandangan atau menutup fikiran, kerana inilah realiti yang bakal dihadapi oleh peguam masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan cabaran baharu yang dihadapi profesion perundangan, termasuk kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti model bahasa besar dan model penaakulan.

Katanya, walaupun penting untuk meninjau masa depan pendidikan dan profesion undang-undang, persoalan mendalam mengenai evolusi sistem perundangan tidak boleh diketepikan.

“Memandangkan kita berada di ambang perubahan besar, persidangan ini mesti membuka ruang kepada perbincangan bermakna tentang bagaimana undang-undang perlu berkembang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN