KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azmi Saat, berharap perkongsian mengenai layanan tidak mesra pegawai bank terhadap isterinya, Nazira Muhammad dapat dijadikan iktibar.
Kata Azmi atau Khairul Azmi Muhammad Saat, hal demikian kerana ramai Orang Kelainan Upaya (OKU) yang melalui pengalaman sama, berdepan pegawai khidmat pelanggan yang bersikap biadab dan tidak profesional.
“Selepas berkongsi pengalaman itu di media sosial, ramai golongan OKU yang tampil mengakui mereka juga berdepan situasi sama.
“Saya berharap, perkongsian saya itu membuka mata mereka yang bekerja dalam bidang perkhidmatan awam agar lebih peka dan profesional sewaktu menjalankan tugas.
“Kami golongan OKU ini tidak diminta dilayan seperti raja, memadai kami ini dilayan baik seperti orang normal,” katanya.
Azmi berkata demikian sewaktu sesi bersama media yang diadakan di Red Box, The Garden baru-baru ini.
Penyanyi berusia 38 tahun itu sebelum ini mencuri perhatian Berikutan perkongsian di media sosial mengenai layanan buruk seorang pegawai bank terhadap isterinya, baru-baru ini.
Susulan pendedahan, wakil bank berkenaan telah membuat permohonan maaf kepada Azmi dan isterinya. – UTUSAN










